14 Mac 2011

MENGAPA KITA HENDAK JADI KETUA?

Dato' Seri Mohd. Najib Tun Razak. Perdana Menteri Malaysia


SEORANG  ketua atau pemimpin mempunyai tugas dan amanah yang sangat besar dan wajib dipikul dan tugas itu  tidak dapat dijalankan dengan sempurna dan berjaya melainkan dengan sokongan dan kerjasama dari orang-orang yang dipimpin nya. Allah SWT telah menentukan supaya orang yang dipimpin itu mematuhi ketuanya didalam semua arahan atau suruhan sama ada yang disukainya atau tidak kecuali suruhan untuk melakukan maksiat dan melanggar hukum Allah SWT

Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud :

“ Wajib keatas setiap orang Islam mendengar dan mematuhi ( perintah ketua ) didalam perkara-perkara yang disukai atau dibencinya selagi tidak disuruh mengerjakan maksiat. Apabila disuruh mengerjakan maksiat, tidak lagi ia diwajibkan mendengar dan taat “.

Oleh kerana tugas pemimpin tidak dapat dijalankan melainkan dengan adanya hubungan baik antara ketua dan pengikut, maka Islam mewajibkan dasar mesyuarat. Pandangan dan pendapat pengikut hendaklah dipertimbangkan dengan sewajarnya.



Sabda Rasulullah SAW:

“ Kamu semua adalah pemimpin dan kamu sekelian akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pimpin. Iman ( ketua ) adalah pemimpin dan ia akan di minta bertanggungjawab tentang apa yang dipimpinnya. Orang lelaki ( suami ) adalah pemimpin dalam lingkungan keluarganya dan ia akan ditanya tentang apa yang ia pimpin. Orang perempuan ( isteri ) juga pemimpin dalam mengendalikan rumahtangga suaminya dan ia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya dan pembantu rumahtangga ( pekerja ) juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan ia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya ”

( Hadith Riwayat Bukhari )



Pemimpin adalah ketua yang meneraju sesebuah kumpulan atau organisasi atau persatuan atau sebuah negeri atau apa saja yang dia mempunyai pengikut yang setia. Kenapa kita mahu jadi ketua? Kerana kita percaya kita ada kekuatan. Kita ada kemahiran mengurus. Kita ada kelebihan dalam mentadbir.   Kita ada kepandaian dalam melaksanakan tugas. Kita ada ilmu pengetahuan yang luas. Kita dihormati kerana pekerti yang mulia. Kita lebih alim dalam ilmu agama. Kita lebih kaya wang ringgit. Kita dari golongan bangsawan. Kita lebih tua dan kita memang ketua dan berhak menjadi ketua. Namun ada juga ketua yang dipilih atau dilantik kerana senioriti atau kebolehupayaan mentadbir sebagaimana perlantikan ketua di jabatan kerajaan atau dimana-mana pejabat swasta.

Itulah keyakinan kita. Apa yang kita fikir kita layak menjadi ketua haruslah pula difikir oleh orang lain bahawa kita layak dipilih dan dilantik jadi ketua. Kita dilantik secara majoriti dan sememang disukai dan bukan kerana kekejaman dan kekuatan. Dizaman demokrasi orang yang mempunyai kepintaran akal dan kelicikan fikiran dipilih menjadi ketua. Tidak seperti di zaman jahiliah dimana mereka yang kuat dan sasa dan yang menang pertarungan senjata dilantik menjadi raja.

Menjadi seorang ketua bukanlah satu tugas yang mudah tanpa memerlukan pengorbanan. Sanggup berkorban masa, tenaga dan kadangkala wang ringgit. Jadi tidak pula bermakna hanya yang banyak harta dan kaya saja layak menjadi ketua. Seorang ketua atau pemimpin harus memiliki sifat dan akhlak yang baik, beriman, jujur, amanah, menunaikan janji, ikhlas, beradab, berhemah, penyantun dan lapang dada, murah hati, bersih, sihat, malu, membina persahabatan dan persaudaraan, pergaulan yang baik, mulia, penyayang, berilmu, berakal, menilai waktu dan mensyukuri nikmat.

” Tiga golongan manusia yang tidak diangkat solatnya walaupun sejengkal diatas kepala; Pertama, lelaki yang menjadi imam dari satu kaum yang membencinya. Kedua, perempuan yang bermalam ( tidur ) tapi dibenci suaminya. Ketiga, dua orang yang bermusuhan ”

( Hadith Riwayat Ibnu Majah )



Menjadi pemimpin atau ketua bermakna kita mempunyai pengikut dan organisasi sama ada  merupakan sebuah jawatankuasa, persatuan, pertubuhan, pejabat,  parti politik atau sebuah negeri. Ini bererti kita di pilih atau dilantik untuk menjaga kepentingan organisasi yang kita wakili dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

” Tidak sempurna iman bagi mereka yang tidak bersifat amanah dan tidak sempurna agama bagi mereka yang tidak menepati janji ”

( Al-Hadith )

Menjadi ketua ibarat seorang pemandu kenderaan. Lebih besar kenderaan bererti lebih ramai penumpang yang dibawanya. Ketua tidak akan dapat memandu kenderaan dengan sempurna andainya tidak mempunyai engin yang baik. Engin yang baik akan menentukan sejauh mana kenderaan yang dipandu oleh ketua berjalan dan sampai ke destinasi. Ketua dan pemandu yang bijaksana sahaja akan tahu bagaimana untuk menjaga kenderaan nya agar sentiasa dalam keadaan baik dan sentiasa kelihatan bersih dan sempurna.

Seandainya  kenderaan hanya  digunakan tanpa seliaan dan tanpa ambil tahu kekuatan dan keperluan engin, lambat laun engin akan meragam dan kenderaan itu sendiri tidak akan membawa ketua atau pemandu ketempat yang  dituju dan akhirnya seluruh jentera dan ketua terpaka di tukar ganti dengan yang lebih baik.

Ada orang yang menjadi ketua hanya memerlukan orang-orang yang jahil dan bodoh bagi memudahkan ia terus disokong menjadi ketua. Mereka yang berfikiran lemah dan mudah disogok boleh menjadikan ketua ini kuat dan terus disokong untuk berkuasa dan memimpin mereka. Ketua akan tahu bahawa pengikutnya yang tidak berilmu lebih baik dari dirinya akan mudah ditarik hidung seperti kerbau dan akan mengikut sahaja kemana dia pergi tanpa boleh melawan. Apa yang ketua buat dianggap betul dan sempurna walaupun mereka tahu ketua itu membawa mereka ke jalan yang berlumpur. Pemimpin jenis ini perlu berkerja yang kelihatan seolah-olah luar biasa hanya seperti ayam berkokok agar disukai oleh pengikutnya walau ekornya bergelumang tahi.

Seorang pemimpin yang bijaksana akan merasa keberuntungan dengan  memiliki pengikut yang bijaksana dan lebih pintar bagi memudahkan lagi proses menjana kerja yang luar biasa dan mendatangkan hasil yang lebih produktif. Ini kerana dia tahu ketua hanya merupakan seorang pemandu dan pembuat keputusan arah tujuan kemana kenderaan itu hendak dibawa. Jadi ketua atau pemandu memerlukan tenaga engin, cengkaman tayar, fungsi brek dan tayar simpanan dan segala kelengkapan yang baik dan sempurna bagi menjamin prestasi kereta tersebut semasa memecut dilandasan!

Hanya pengikut yang membuta tuli saja sanggup menggadai maruah diri dan menganggap ketua sebagai nabi yang maksum yang tidak pernah membuat dosa. Mereka sanggup mendewakan ketua walaupun mereka tahu ketua mereka pernah melakukan onar dan bertindak hanya atas kepentingan sendiri. Mereka ini ibarat sudah berpatah arang dan sanggup menang sorak walaupun kampung akan tergadai.



” Demi masa.
Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran ”

( Surah Al ’Ashri, ayat 1-3 )

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...